Tan Sri Mahiaddin pegang rekod kos selenggara, pembaikan kereta tertinggi

Pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin memegang rekod untuk kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta tertinggi pada 2020, dedah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu jawapan bertulis kepada Chong Zhemin (Kampar-PH).

Kos penyelenggaraan dan pembaikan yang direkodkan bagi tahun tersebut ialah RM672,000.

Sebagai perbandingan, kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta pada tahun 2021 ialah RM478,991.50 dan untuk tahun 2022 pula ia berjumlah RM450,690.66.

Keseluruhan kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta berjumlah RM1601,682.16

Beliau yang juga adalah Menteri Kewangan turut menyatakan bahawa para menteri persekutuan dibekalkan dengan kenderaan rasmi jawatan model Toyota Vellfire 2.5L sejak April 2021 untuk menggantikan Proton Perdana 2.4L yang dihentikan pengeluaran.

“Kerajaan membayar kos pajakan bulanan terdiri daripada kos sewaan serta kos penyelenggaraan dan pembaikan bagi setiap kenderaan rasmi tersebut,” kata Anwar.

Mahiaddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri paada 1 Mac 2020 setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang ekoran dari Langkah Sheraton. Kerajaan pentadbirannya bertahan sehingga 16 Ogos 2021.

Pentadbirannya dianggotai oleh 32 menteri dan 38 timbalan menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih sebagai perdana menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 dan bertahan sehingga 10 Oktober 2022, iaitu 11 bulan sebelum dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15.