AMK optimis PH-BN dominasi PRN Negeri Sembilan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan optimis kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mampu mendominasi kemenangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengarah Komunikasi AMK negeri, Haqqim Nazaruddin berkata gabungan sokongan itu diharap akan memberi impak besar dan mampu menarik pengundi atas pagar terutamanya pengundi muda.

“Kerjasama PH-BN boleh memberi kesan besar kepada pengundi atas pagar dalam PRN nanti.

“Cumanya, jentera dan akar umbi perlu memainkan peranan masing-masing bagi memikat hati pengundi muda,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian mengenai kerjasama kompenan parti Kerajaan Perpaduan dalam PRN termasuk persiapan AMK menjelang bulan pembubaran DUN yang dijangka Jun ini.

Tambah Haqqim yang juga Ketua AMK Jelebu, pihaknya turut menfokuskan program mendekati golongan belia khususnya di kawasan luar bandar.

“AMK sendiri banyak melakukan program yang cenderung menarik minat anak muda terutamanya pengundi di luar bandar.

“Fokus program mestilah sesuai dengan minat dan cita rasa mereka, ia secara tidak langsung dapat memberi kesan kepada mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga menekankan faktor calon muda yang perlu diketengahkan, sekali gus dapat memberi pendedahan dari segi kepimpinan dan pengalaman melalui pilihanraya.

“Saya berpendapat, adalah lebih baik calon muda ditampilkan bagi memberi pengalaman kepimpinan, jika diberi peluang,” katanya lagi.

Untuk rekod, program ramah mesra seperti majlis khatan, aktiviti sukan dan majlis perayaan telah dianjurkan oleh AMK bagi mengisi aspirasi kerajaan negeri.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun memberi bayangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan.

Selain Negeri Perpatih, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang bakal membuka laluan penganjuran PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan harap rundingan agihan kerusi secara ‘perpaduan’