Isu kekosongan kerusi DUN Batang Kali

OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN

Baru-baru ini, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim telah menggunakan peruntukan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Batang Kali yang dipegang oleh Harumaini Omar (PEJUANG) atas kegagalannya untuk hadir persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu tanpa kebenaran.

Beliau dikatakan gagal hadir dalam persidangan DUN yang bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

Kata Speaker, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran, tarikh akhir kehadiran Harumaini ke persidangan dewan adalah pada 27 Julai tahun lalu dan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai. Maka, tempoh 6 bulan itu berlaku kekosongan adalah berkuatkuasa dari 28 Januari.

Dalam kenyataan balas, Harumaini menyatakan bahawa Speaker DUN telah silap membuat pengiraan tempoh 6 bulan. Menurut beliau, sebagai ADUN beliau menghadirkan diri bagi mesyuarat pertama dan kedua Dewan pada Mac hingga Ogos tahun lalu.

Katanya lagi, beliau hadir pada 27 Julai 2022 dan oleh kerana kehadirannya adalah masih di dalam sidang atau mesyuarat kedua yang sama (same sitting) maka Speaker telah terkhilaf apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan dari tarikh 27 Julai 2022 kerana ia masih di dalam satu sidang atau mesyuarat yang sama.

Oleh itu, ketidakhadiran beliau tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.

Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan bagi maksud Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan bukannya pada 27 Julai 2022. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa hanya SPR yang berkuasa untuk mengisytiharkan kekosongan dan bukannya Speaker DUN.

Pada tahun 2011, Speaker DUN Selangor Teng Chang Kim pernah menggunakan peruntukan yang sama untuk membatalkan keanggotaan Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah atas alasan yang sama iaitu kegagalannya untuk hadir sidang DUN dalam tempoh 6 bulan. Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah dan telah dilaporkan dalam jurnal undang-undang.

Dalam TENG CHANG KHIM v. BADRUL HISHAM ABDULLAH & ANOR [2017] 5 MLRA 651, Mahkamah Persekutuan menyatakan kuasa Speaker untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi itu diberikan dalam Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang menyatakan:

“69. Ketidakhadiran ahli

Jika seseorang ahli Dewan Undangan Negeri tanpa kebenaran Speaker tidak hadir pada setiap persidangannya selama tempoh enam bulan kerusinya hendaklah diisytiharkan kosong oleh Speaker.”

Selanjutnya, Mahkamah Persekutuan membuat pemerhatian berikut:

[35] Perkara 69 Perlembagaan Selangor dengan jelas memperuntukkan kuasa untuk Speaker mengisytiharkan kerusi kosong jika ahli Dewan Undangan tidak hadir tanpa kebenaran setiap kali bersidang untuk tempoh enam bulan. Bagaimanapun, peruntukan itu senyap sama ada pengisytiharan itu perlu dibuat oleh Speaker semasa prosiding DUN. Peruntukan itu juga tidak mengenakan sebarang kewajipan kepada Speaker untuk berunding dengan ahli Dewan Undangan Negeri sebelum mengisytiharkan kerusi kosong.

[36] Persoalannya adakah tindakan Speaker mengisytiharkan kerusi Badrul bagi kawasan N46 Pelabuhan Klang kosong pada sidang media adalah menjalankan fungsinya mengawal hal ehwal dalaman SLA dan kebal daripada cabaran di mahkamah. Jawapan kami adalah afirmatif. Pertama, pengisytiharan itu dibuat mengikut parameter yang ditetapkan oleh perkara 69 Perlembagaan Selangor. Kedua, pengisytiharan itu sudah pasti berkaitan dengan urusan penting SLA dan dibuat dalam melaksanakan fungsi penting Speaker sebagai Speaker.

[37] Oleh itu, kami berpendapat bahawa Speaker dalam kes ini telah bertindak secara sah di bawah perkara 69 Perlembagaan Selangor dalam mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri N46 Pelabuhan Klang Badrul kosong. Tindakan yang diambil oleh Speaker adalah tidak boleh dipertikaikan di Mahkamah kerana ia dilindungi oleh perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 2 dan 3 Jadual kepada Perkara 77 Perlembagaan Selangor.

Berdasarkan kes duluan ini, kemungkinan besar Mahkamah akan mengabsahkan tindakan Ng Sue Lim dan Harumaini dijangka sukar untuk mencabar keputusan Speaker itu.

Sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen dan DUN sepatutnya menyedari kewujudan peruntukan ini dalam Perlembagaan.

Adalah menjadi satu perkara yang sia-sia bagi para penyokong yang telah bertungkus lumus memenangkan mereka sebagai wakil rakyat mereka tetapi keanggotaan mereka akhirnya telah dibatalkan atas alasan teknikal seperti ini.

Adalah amat malang juga kerana sepatutnya wakil rakyat hadir ke sidang Parlimen atau DUN untuk menjalankan tugasan asasi mereka tetapi mereka gagal hadir tanpa alasan.

Jika pun mereka tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu seperti masalah kesihatan sekali pun sepatutnya mereka menulis surat bagi memohon cuti daripada Speaker.

Penulis ialah peguam parti AMANAH Negara