Jangan terlibat perarakan timbulkan ketidakharmonian – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegah mana mana pihak menganjurkan perarakan yang boleh menimbulkan salah faham atau ketidakharmonian antara kaum.

Beliau yang dimaklumkan mengenai perarakan Pemuda Pas di Terengganu yang mengenakan kostum pakaian ala tentera abad pertengahan di Eropah semalam berkata, perarakan seperti itu amatlah tidak sesuai dianjurkan dalam masyarakat seperti di Malaysia.

“Pada hemat saya tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara. Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Na’im lagi sebagai penganut Islam yang baik, adalah dituntut menjaga keharmonian sesama anggota masyarakat dan menolak sebarang perbuatan yang mengundang kegelisahan awam.

“Semua pihak bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Apa apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlulah dielakkan sama sekali

“Jabatan Perdana Menteri berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan, serta apa apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara,” katanya lagi.

BACA JUGA Pemuda Amanah Terengganu selar himpunan Himpit Pas