Naikkan gaji ikut pengalaman pekerja, tingkat produktiviti
Kenaikan gaji pekerja perlu dilakukan berdasarkan kelulusan, kemahiran dan pengalaman pekerja.
Hal itu diberitahu oleh bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bagi menangani keadaan ketidak seimbangan kenaikan kos kehidupan dan gaji.
Katanya, jika gaji dibayar setimpal berdasarkan kemahiran, produktiviti akan meningkat manakala majikan bakal mengaut keuntungan serta pulangan yang lebih baik.
“Isu sekarang ini adalah apabila sebahagian besar majikan di Malaysia tidak mengukur kredibiliti pekerja dan hanya akur pada syarat gaji minimum.
“Apabila gaji itu dinaikkan atas daripada kadar gaji minimum, majikan seharusnya mengukur kelulusan, kemahiran dan pengalaman yang ada pada pekerja.
“Jika gaji dibayar berdasarkan kriteria itu, produktiviti akan meningkat akhirnya,” kata Mahfuz dipetik Astro Awani.
Selain itu, Mahfuz percaya syarikat-syarikat besar yang berasaskan teknologi tinggi mampu merealisasikan pelarasan gaji antara 3 hingga 20 peratus.
“Syarikat-syarikat besar tidak menghadapi masalah untuk menaikkan gaji pekerja. Itu bergantung kepada kemampuan dan keupayaan mereka.
“Biarpun kenaikan gaji tidak mencecah 20 peratus, perlu ada sedikit peningkatan jika pekerja itu memenuhi kriteria yang telah saya sebutkan.
“Namun, tidak ada undang-undang yang boleh menekan majikan untuk kenaikan gaji.
“Kementerian hanya boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum dan beri garis panduan kepada majikan.
“Sekiranya ekonomi kita beransur baik, apa salahnya gaji pekerja dinaikkan? Itu dapat memberi satu gambaran yang positif pada ekonomi negara,” katanya lagi.
Menurut Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 yang diterbitkan oleh Randstad, kenaikan kos sara hidup dan peningkatan inflasi di Malaysia memberikan kesan terhadap kemampuan rakyat untuk membiayai barangan keperluan serta gaya hidup.
Sehubungan itu, pekerja di negara ini seharusnya menerima pelarasan gaji antara 3 hingga 20 peratus bergantung kepada industri.
BACA JUGA Jika Hamzah tak berani bangkit isu rasuah di Parlimen, kita perlu Ketua Pembangkang baru