Perarakan Pemuda Pas: Wanita PH Terengganu buat laporan polis

Wanita Pakatan Harapan (PH) Terengganu tampil membuat laporan polis susulan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) semalam.

Laporan polis dibuat Wanita PH Terengganu

Ketuanya, Datin Faizah Ariffin berkata tindakan tersebut dilakukan bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut kerana dibimbangi perhimpunan tersebut mempunyai unsur sentimen keagamaan jalus ekstrem yang boleh memecah keharmonian kaum berdasarkan perarakan Pemuda Pas mengenakan pakaian kostum tentera ala abad pertengahan di Eropah.

“Perhimpunan sebegini perlu dikawal kerana kita kuatir ia boleh membawa kepada fahaman radikal sekali gus mengancam masyarakat kita yang berbilang bangsa.

“Kita tidak mahu masyarakat terutamanya anak muda terpengaruh dengan fahaman radikal yang secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka terdedah kepada aktiviti keganasan,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Difahamkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut hadir merasmikan perhimpunan Himpit 2023.

Dilaporkan selain perarakan Pemuda Pas mengenakan kostum tersebut, mereka juga membawa pedang dan tombak tiruan serta sebuah pacuan empat roda digunakan membawa replika sebilah pedang gergasi dengan tulisan khat Arab di atasnya.

Susulan daripada itu, polis Terengganu mengesahkan memanggil penganjur program bagi memberi penjelasan berhubung perhimpunan itu.

BACA JUGA Naikkan gaji ikut pengalaman pekerja, tingkat produktiviti