Pinda Perlembagaan tindakan terbaik selesai isu kerakyatan anak

Keputusan Kerajaan Perpaduan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kerakyatan anak wanita waranegara Malaysia yang lahir di luar negara merupakan langkah reformasi institusi terbaik pada ketika ini

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sudah sampai masanya Parlimen Malaysia digunakan untuk menyelesaikan isu tafsiran perundangan tersebut dan tidak lagi membiarkan warga biasa Malaysia bersusah payah melakukan cabaran di mahkamah.

“Isu politik yang jelas di sini ialah kabinet dan Kerajaan sekarang ada iltizam yang kuat dan jelas untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira gender atau jantina, baik warganegara lelaki atau wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing, mempunyai hak sama di bawah Perkara 8 Perlembagaan.

“Mereka berhak mewariskan kewarganegaraan Malaysia kepada anak anak mereka, tanpa mengira sama ada lahir dalam Malaysia atau di luar negara,” katanya.

Hassan memuji political will atau kesungguhan politik yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan kerana mampu menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh 3 bulan berkuasa, sedangkan ianya telah berlarutan sejak 60 tahun lalu.

Kepantasan bertindak itu, katanya satu permulaan baik konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dari segi perundangan, ini adalah satu manifestasi reformasi dan contoh jelas falsafah Madani, bukan sesuatu konsep yang retorik tetapi satu pernyataan yang konkrit.

“Saya menyokong dan ucap syabas kepada Kabinet, Perdana Menteri serta Kerajaan sekarang,” katanya lagi.

Semalam, dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malam tadi, menyebut bahawa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara tersebut adalah untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak menurut Perlembagaan.

Kenyataan itu menambah bahawa Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

BACA JUGA Pindaan perlembagaan: Kewarganegaraan untuk anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia