Batang Kali, Pejuang dan pilihan raya negeri

Ketika ini, Harumaini Omar mempertikaikan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Kali yang telah diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Ng Suee Lim.

Ada dua pandangan berbeza berkaitan perkara ini.

Peguam Parti Amanah Negara, Dr Zulqarnain Lukman berhujah bahawa tindakan Ng sebagai Yang Dipertua adalah betul dan terdapat duluan kehakiman sepertimana yang terlihat di dalam kes Teng Chang Kim lwn Badrul Hisham Abdullah.

Ada pandangan bahawa hanya SPR boleh mengumumkan kekosongan kerusi tersebut. Penulis ingin menyelusuri persoalan politik, bukannya perundangan dalam perkara ini.

Sekiranya kerusi Batang Kali sah dikosongkan, pilihan raya kecil tidak akan diadakan memandangkan pilihan raya negeri akan dibuat tidak lama lagi.

Buat masa ini Harumaini bertegang urat dengan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Ng Suee Lim untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Adun.

Pejuang

Pejuang baru usai menghadapi krisis pertamanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri dikhabarkan sedang cuba menyelamatkan kerusi DUN Jitra di Kedah di dalam pilihan raya negeri Kedah.

Beliau dilaporkan mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan tetapi perkara ini dinafikan oleh pengerusi Pakatan Harapan Kedah.

Berbalik kepada persoalan Batang Kali, Harumaini memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum ke-14 di atas tiket Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan.

Dalam keadaan ini, apa yang pasti ialah Pejuang yang tidak mempunyai akar umbi dan dana akan kehilangan Batang Kali.

Pilihan raya negeri

Besar kemungkinan, apa yang berlaku kepada Pejuang semasa PRU ke 15 akan berulang.

Di pihak Perikatan Nasional, Bersatu akan kembali menuntut kerusi ini.

Di pihak Pakatan Harapan pula, rundingan kerusi harus dibuat kerana sebelum PRU14, kerusi ini ditandingi oleh PKR dan Umno. Sebelum kemunculan Harumaini, Batang Kali diwakili oleh Umno.

Selain rundingan kerusi, satu tinjauan umum perlu diadakan untuk memastikan kerusi ini kekal dengan calon yang mewakili kerajaan perpaduan.

Bagi mereka yang menganalisa keputusan pilihan raya lalu untuk Batang Kali, sejak pilihan raya umum ke-11, majoriti yang dimenangi calon Umno turun naik sebelum kecundang di tangan Harumaini.

Pada tahun 2004, Datuk Zainal Abidin Sakom menang kerusi Batang Kali dengan majoriti 8,828 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang Dr Kalili Rahmat (PKR).

Pada PRU ke-12 dalam tahun 2008, Isa Abu Kasim dari Umno mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 2,179 undi.

Dalam PRU seterusnya dalam tahun 2013, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 5,398 undi.

Meskipun PKR kalah, calonnya meningkat undi dalam setiap PRU. Terdapat peningkatan antara 5500 undi dan 6200 undi sebelum Harumaini bertanding di situ.

Ini adalah antara faktor – faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum menentukan calon dari parti yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan di Batang Kali.

BACA JUGA: Isu kekosongan kerusi DUN Batang Kali