ECRL: MB janji penyelesaian menang-menang kepada 89 keluarga di Klang

Penempatan melibatkan 89 keluarga di Kampung Delek dan Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang dapat diselamatkan sekiranya laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditukar ke lokasi lain.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu antara tawaran penyelesaian yang boleh dibuat oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri menawarkan penyelesaian terbaik menang-menang kepada penduduk termasuk menggantikan rumah mereka yang terbabit dengan projek tersebut.

“Sementara itu, kita boleh kenal pasti penyelesaikan terbaik kawasan mana yang dibangunkan yang boleh kita ganti tanah atau ganti rumah atau sedia rumah untuk dibeli dengan kos tertentu atau sebagainya

“Tapi itu boleh dielakkan kalau ECRL boleh tukar laluan, itupun antara pilihan yang boleh kita tawarkan kepada ECRL,” katanya dalam hantaran video yang dimuat naik di Facebook.

Beliau berkata demikian  pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Seri Perantau di sini pada Sabtu.

Amirudin berkata nasib penduduk akan dibela sekiranya projek ECRL di kawasan itu tidak dialih ke lokasi lain.

Katanya, pihak kerajaan negeri mempunyai masa untuk berbincang dengan pihak berkenaan memandangkan setakat ini proses permohonan ECRL untuk pengosongan kawasan masih belum dibuat.

“Sebab saya rasa dari perkembangan projek yang berlaku ia akan tiba paling awal pada tahun 2025,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiada lagi perubahan jajaran projek ECRL setelah dimuktamadkan sepenuhnya dengan paling akhir laluan di Selangor iaitu Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

BACA JUGA: Miliki kediaman selesa di Kwasa Damansara, 4,694 unit Rumah Idaman dibina – MB