KDN beri amaran, perarakan replika senjata timbul kegusaran awam – Menteri

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa juga perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara kepada masyarakat dan negara.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.

Dalam hal ini, beliau berkata pihaknya memandang serius berhubung acara perarakan replika senjata tajam yang berlangsung dalam satu himpunan sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu.

“Perarakan replika bersenjata yang tular telah menimbulkan kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri dilihat semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion dan royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Replika pedang dibawa di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam program Himpunan Pemuda Pas Terengganu di Setiu pada 17 Februari 2023.

Saifuddin berkata keadaan itu menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan.

Katanya apa juga tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘military’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.

“Insiden ini kemudian disiarkan dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan.

“Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang?” jelasnya.

BACA JUGA: Isu berarak bawa replika senjata ke Kabinet minggu ini