Keputusan iktiraf lapan wakil rakyat Selangor dalam masa terdekat
Kedudukan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor akan diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Selangor sebelum pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-14 tahun 2023 yang dijadualkan pada Mac depan.
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, kedudukan lima orang ADUN BN, dua ADUN Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang ADUN Warisan di Selangor akan diteliti semula berikutan penglibatan parti-parti itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Oleh kerana kerajaan negeri Selangor ini PH jadi kerajaan, langkah pertama yang mesti dipersetujui adalah untuk mengiktiraf kedudukan ADUN BN.
“Adakah mereka (ADUN BN) mewakili kerajaan, sebahagian kerajaan atau penyokong kerajaan? Ini adalah satu proses lain kerana sebelum ini mereka adalah pembangkang.
“Tetapi jangan lupa, di Selangor ini terdapat seorang anggota Warisan dan dua anggota PBM sedangkan parti-parti ini di peringkat Persekutuan adalah penyokong kerajaan,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, proses menukar kedudukan ADUN-ADUN berkenaan tidak mudah di Selangor tetapi perkara tersebut perlu diputuskan bagaimana untuk mengiktiraf kedudukan mereka.
Lima wakil rakyat BN di Selangor adalah ADUN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail, ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin, ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar, ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi.
Manakala wakil rakyat Warisan adalah ADUN Teratai, Lai Wai Chong dan dua wakil rakyat PBM adalah ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha dan ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi.
Yahya berkata, keputusan untuk mengiktiraf kelapan-lapan wakil rakyat terbabit akan dimuktamadkan dalam masa terdekat oleh pimpinan PH Selangor.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya PKR Selangor menyatakan bahawa PH dan BN akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan bentuk kerjasama dalam PRN tahun ini.
“PKR bersetuju untuk serahkan kepada pimpinan negeri untuk bermesyuarat di peringkat PH untuk melihat apa keputusan di peringkat pilihan raya negeri Selangor.
“PH juga di peringkat negeri sudah bermesyuarat sebelum ini supaya bersetuju untuk bawa mandat untuk berunding dengan BN secara sah pada minggu ini,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Berehat politik: “Pak Ya kenal Azmin, jangan temberang itu hanya gimik”