Kerajaan dalam fasa akhir luluskan projek LCS

Kerajaan Perpaduan akan meneruskan semula projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sebagai sebahagian usaha untuk memperkasa aset pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementeriannya sedang dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan cadangan pelulusan projek dan akan membentangkan kertas projek yang baru kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

Menurutnya, selepas itu kerajaan hanya perlu menandatangani International Settlement Agreement dengan pihak ketiga sebelum boleh meneruskan semula projek kapal LCS yang terhenti.

“Kementerian Pertahanan sedang memberikan penelitian khusus demi bagi memastikan LCS dapat diteruskan bagi memperkasa sistem pertahanan dan perairan negara.

“Kita akan bentang kertas baru sebab ini kerajaan baru. Kita akan bentang semula kepada jemaah menteri untuk kita meneruskan projek ini dan apabila kita menandatangani International Settlement Agreement dengan pihak ketiga, kita akan dapat teruskan.

“…dan tidak ada lagi lihat kebelakang kerana kita mahu pastikan projek LCS akan siap pada masa yang kita tentukan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Nordin Ahmad Ismail (Lumut-PN) yang meminta
Menteri Pertahanan menyatakan langkah-langkah ke hadapan Kementerian dalam mengatasi isu projek LCS untuk TLDM yang semakin meruncing yang mana ia menjejaskan perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM.

 

BACA JUGA Tujuh langkah Kementerian Pendidikan untuk menjaga kesejahteraan guru