Kerja tidak sepadan punca pengangguran kalangan belia

Tidak berlakunya pemadanan pekerjaan dan belia yang mencari kerja punca utama masalah golongan berkenaan menganggur.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli (PH – Pandan) berkata sektor pekerjaan yang semakin berasaskan digital juga menyebabkan belia yang menjalani latihan tidak bersesuaian gagal mendapat pekerjaan.

Katanya, kerajaan sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan berkenaan.

“Kerajaan setakat ini akan memberikan tumpuan kepada beberapa program. Misalnya syarikat mengambil mereka yang bersesuian dengan sektor pembuatan dan dilatih terus serta memberi peluang pekerjaan (di kilang).

“Kedua kita perlu mempercepatkan sektor tenaga kerja kita untuk melatih graduan atau golongan belia dalam menutup jurang kemahiran ini, seperti kemahiran digital supaya tidak semata mata mendapatkan ijazah atau sijil, tetapi lebih kepada job trainning,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Muhammad Ismi Mat Taib (PN – Parit) dalam sesi pagi Dewan Rakyat.

Bagi soalan tambahan Parit mengenai latihan dan pekerjaan pula, Rafizi berkata sistem pelatihan turut perlu dikaji kerana latihan kemahiran yang dijalankan kerajaan pada hari ini kebanyakan berdasarkan keperluan pasaran kerja dan teknologi pada era 1990an.

“Kita ada kesenjangan yang besar antara bentuk pekerjaan yang diperlukan dengan kemahiran yang dihasilkan sistem kita. TVET misalnya, kebanyakan persijilan yang dikeluarkan sekarang ini lebih merujuk kepada keperluan 1990an, era 2000 dan sebagainya yang berasaskan mesin.

“Sekarang ini ia tidak lagi begitu kerana kebanyakannya bergerak ke arah automasi. Mesin pun berbeza dan kemahiran berbeza. Kementerian Ekonomi daalm hal ini bekerjasama dengan semua kementerian terbabit dan kita perlukan kerjasama dari sektor swasta.

“Salah satu keputusan diambil kerajaan ialah untuk membuka institusi TVET ini dilakukan pihak swasta (lebih dekat dengan teknologi semasa kilang) supaya tidak ada jurang yang besar di antara kemahiran dan latihan diberikan dan sektor pekerjaan,” katanya.

BACA JUGA Dr Zaliha mahu rakyat cegah penyakit, amal cara hidup sihat