PRN Selangor: Rakyat harus berhati-hati dengan video fitnah pembangkang
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni membidas segelintir pihak khususnya Perikatan Nasional (PN) yang berterusan melontar fitnah kepada kerajaan negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Tegasnya, beliau tidak terkejut sekiranya akan wujud lebih banyak video atau bahan lain yang akan digunakan untuk menyemarak perasaan benci rakyat terhadap kerajaan negeri sepertimana pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Pada pendapat saya, video-video ini menjadi fitnah yang besar bahkan kadangkala video ini disunting atau diubah menjadi satu cerita yang menyebabkan orang terhipnotis.
“Ini menunjukkan seolah-olah negeri Selangor sekarang ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) nanti tidak boleh pergi masjid, anak perempuan tidak boleh pakai tudung, lelaki berseluar pendek dan pelbagai lagi cerita bohong yang sengaja direka,” ujarnya kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Zawawi, platform media sosial telah digunakan oleh pembangkang untuk menyebarkan video-video lama bersifat perkauman yang dihidupkan semula.
“Video lama seperti video ‘anak kecil main api’ telah dilagukan semula dengan gambar-gambar dan latar yang menimbulkan kemarahan seolah-olah Islam terancam dan orang Melayu tergugat.
“Akhirnya pengundi-pengundi atas pagar merasakan bahawa apa yang disampaikan dalam video itu adalah benar.
“Sedangkan hakikatnya ini adalah satu propaganda dan satu cerita yang diubah suai atau direka untuk mengelirukan pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pembangkang supaya meninggalkan perbuatan memfitnah ini kerana hanya akan menimbulkan perpecahan dan juga kerosakan pada masyarakat.
Menurutnya, kaedah fitnah dan cerita bohong ini tidak membangunkan rakyat bahkan hanya menimbulkan ketegangan dan kebencian antara masayarakat dan kaum di Malaysia.
Justeru Zawawi yang juga ADUN Sungai Kandis menyambut baik konsep masyarakat Madani yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai masyarakat yang bertamadun.
“Konsep Madani menjadikan masyarakat mempunyai cara berfikir dan bertindak sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun ada keterbukaan dan kebebasan tetapi kebebasan yang dimaksudkan itu pastilah kebebasan yang ada tanggungjawab.
“Dia (pembangkang) boleh bercakap bebas tapi kena bertanggungjawab kepada apa yang diucapkan dan kalau dia (pembangkang) bercakap sesuatu yang membawa fitnah cerita bohong kalau disaman kena bertanggungjawablah,” ujarnya lanjut.
Jelas beliau, masyarakat Madani yang ingin dibentuk merupakan satu konsep yang akan membawa rakyat negara ini lebih bersifat terbuka dan bersedia untuk menerima pandangan daripada semua pihak seterusnya setiap sudut pandang yang terbaik dan sesuai dengan pandangan syarak akan dijadikan sebagai teras dalam pembangunan negara.
BACA JUGA Miliki kediaman selesa di Kwasa Damansara, 4,694 unit Rumah Idaman dibina – MB
Â