Anwar pertahan pelantikan Ahmad Zahid di dalam kabinet

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri di dalam kabinet beliau dengan menggunakan contoh kes yang dihadapi oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor-PN).

Ahmad Zahid sedang berdepan kes mahkamah turut memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Kita tak boleh hukum sebelum penghakiman. Ada yang berhormat yang didakwa hari ini. Adakah dia perlu letak jawatan? Belum. Kita perlukan tegakkan prinsip bukan hukum.

“Kita tak boleh hukum sebelum proses mahkamah (selesai).

Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) mempersoalkan pelantikan Ahmad Zahid di dalam konteks Malaysia Madani kerana ia mencetuskan persepsi bahawa wujud pengaruh politik.

Yang berhormat yang dimaksudkan ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta yang berkaitan dengan Program Jana Wibawa.

Program Jana Wibawa, atau ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’ diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Anwar turut mendedahkan bahawa Ahmad Zahid tegas dengan pendirian untuk melaksanakan pendirian kerajaan dalam konteks madani.

“Baru-baru ini ada kes GLC minta tindakan segerakan tender kepada beliau. Beliau menulis “patuh kepada arahan perdana menteri.” Persepsi mungkin tidak tepat. Saya boleh jamin prinsip dan dasar madani tidak terjejas.

Beliau menafikan pelantikan tersebut adalah kerana hubungan peribadi.

“Kita akan mengambil tindakan ke atas sesiapa termasuk dari PKR. Madani bukan slogan kosong.”

Terdahulu beliau turut menyatakan bahawa penggunaan perkataan madani dari bahasa Arab adalah bermaksud untuk semua rakyat Malaysia dan ia turut mencakupi soal nilai yang tidak dirangkum dalam perkataan bahasa Inggeris, civil society.

“Kita tak boleh selamatkan negara tanpa nilai dan tatakelola yang rosak.”

BACA JUGA: Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Dana Wibawa