Azmin berteka-teki soal bertanding PRN

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Datuk Azmin Ali berteka-teki mengenai peluang beliau bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Bila DUN dibubarkan sudah pasti parti akan meneliti calon-calon yang akan di kemukakan. (Bila) belum bubar (makna) kita belum lagi menentukan (calon),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Selangor merupakan salah satu daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini. Selain Selangor, lima negeri lain yang akan turut menyaksikan pilihan raya negeri ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Azmin Ali yang juga Ketua Biro Antarabangsa Bersatu itu dilihat hadir kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi bagi memberi sokongan moral kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Sementara itu ketika ditanya pemberita tentang keputusannya mahu berehat seketika dari politik, beliau meminta agar tidak menyalah tafsirkan keputusannya kerana mungkin beliau berehat sehari, seminggu mahupun sebulan.

“You jangan tafsirlah seketika tu bila…mungkin satu hari, satu minggu, sebulan,” katanya.

“(Tapi) saya ahli parti, saya bertanggungjawab untuk memastikan parti menang dalam enam pilihan raya akan datang,” tambahnya ketika ditanya adakah beliau akan membantu Bersatu ketika PRN akan datang.

Pada 12 Februari lalu, Azmin mengumumkan akan berehat seketika dari arena politik kerana perlu membuat perancangan baharu dan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

BACA JUGA: Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Jana Wibawa