Kontrak menantu bekas PM: Isu NIISe dibentang kepada Jemaah Menteri Jumaat ini
Kerajaan akan meneliti secara terperinci dokumen berkaitan pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri dan menantunya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penelitian terhadap kontrak kerajaan yang pernah dilaporkan bernilai hampir RM1.2 bilion itu perlu dilakukan sebelum mengambil sebarang tindakan.
Menurutnya, beliau sudah diberikan taklimat ringkas mengenai projek itu, yang diraih oleh syarikat teknologi Iris Corporation Bhd dan didakwa berkait rapat dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ujarnya, isu itu timbul apabila media melaporkan bahawa ada pelupusan sejumlah kepentingan kepada sebuah syarikat.
“Tujuan taklimat ini adalah untuk kita mengetahui sama ada praktis korporat itu mematuhi terma dalam kontrak yang ditandatangani antara subsidiari Iris Corp dengan kerajaan.
“Saya akan membentangkan perkara ini kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dalam sama sama, Saifuddin memaklumkan kerajaan akan meneliti terlebih dahulu sama ada isu tersebut memerlukan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum mengambil tindakan seterusnya.
Iris Corp memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) pada 10 Februari lalu dengan Tass Tech Technologies Sdn Bhd (Tass Tech) dengan pelupusan 80 peratus kepentingan ekuiti dalam unitnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS), berjumlah RM70 juta.
IITS adalah pemaju NIISe, yang dikatakan bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS), yang diguna pakai oleh jabatan itu sejak 13 tahun lalu.
Terdahulu, menantu pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu dinamakan dalam laporan media sebagai antara individu utama dalam kontrak untuk NIISe.
Dia juga disebut secara meluas dalam Program Pengampunan 6P Jabatan Imigresen beberapa tahun lalu untuk mendaftarkan warga asing tanpa izin.
BACA JUGA Perihal kes Jana Wibawa