Kurangkan kakitangan awam: SKMM buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan terhadap syarikat televisyen Awesome TV di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 membabitkan kegagalan mematuhi syarat lesen.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata  apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua  tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu berkata SKMM memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I).

Katanya ia supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras dengan AKM 1998 dan Kod Kandungan.

“Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Antara tatacara/proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” katanya.

Terdahulu katanya, SKMM telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV pada Isnin untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai laporan cadangan mengurangkan kakitangan awam.

Semalam Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendedahkan saluran televisyen tempatan, Awesome TV telah melakukan pelanggaran undang-undang sebanyak enam kali berkait dengan isu salah lapor.

Terbaharu adalah laporan diterbitkan Berita 757 di bawah kelolaan syarikat itu yang mendakwa kerajaan akan mengurangkan sehingga 800,000 kakitangan awam berikutan kos yang terlalu tinggi dan membebankan.

Menurut Fahmi, lima pelanggaran lain yang dilakukan syarikat itu pula ketika pentadbiran terdahulu.

Terdahulu beliau menafikan laporan bahawa kerajaan akan mengurangkan bilangan penjawat awam.

“Kerajaan nafi sekeras-kerasnya tuduhan yang menyatakan penjawat awam akan dikurangkan,” kata Fahmi dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.

Dalam pada itu, Berita 757 mempertahankan laporannya dan menyatakan ia telah dimanipulasi dan disalah tafsir.

BACA JUGA: Pengurus Editor Kumpulan Berita 757, Mohamed Ilyas letak jawatan serta-merta