Pengurus Editor Kumpulan Berita 757, Mohamed Ilyas letak jawatan serta-merta

Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed meletakkan jawatan sebagai Pengurus Editor Kumpulan Berita 757, Awesome TV berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Operasi Berita 757 Sofwan Mahmood dalam kenyataan berkata Mohamed Ilyas tidak akan mencampuri sebarang penerbitan Berita 757 dalam kapastinya sebagai Pengurus Editor Kumpulan.

“Pihak Berita 757 juga akan memulangkan kad media Jabatan Penerangan Dato Ilyas kepada pihak Puam dalam masa terdekat,” katanya.

Penyampai Berita 7:57 Awesome TV pada 18 Februari 2023. Foto Berita 757

Semalam Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendedahkan saluran televisyen tempatan, Awesome TV telah melakukan pelanggaran undang-undang sebanyak enam kali berkait dengan isu salah lapor.

Terbaharu adalah laporan diterbitkan Berita 757 di bawah kelolaan syarikat itu yang mendakwa kerajaan akan mengurangkan sehingga 800,000 kakitangan awam berikutan kos yang terlalu tinggi dan membebankan.

Menurut Fahmi, lima pelanggaran lain yang dilakukan syarikat itu pula ketika pentadbiran terdahulu.

Terdahulu beliau menafikan laporan bahawa kerajaan akan mengurangkan bilangan penjawat awam.

“Kerajaan nafi sekeras-kerasnya tuduhan yang menyatakan penjawat awam akan dikurangkan,” kata Fahmi dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.

Dalam pada itu, Berita 757 mempertahankan laporannya dan menyatakan ia telah dimanipulasi dan disalah tafsir.

“Berita 757 Awesome TV menafikan dakwaan laporan menyentuh isu penjawat awam pada 15 Februari 2023 berunsur palsu dan fitnah,” katanya.

Awesome TV mempertahankan laporan terbabit yang secara jelas telah dimanipulasikan beberapa individu di media sosial seterusnya mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, katanya.

BACA JUGA: Fahmi: Kerajaan takkan kurangkan penjawat awam