Prestasi PH di Selangor jauh lebih baik, negeri bawah PN tiada model
Rakyat perlu melihat kepada prestasi pentadbiran kerajaan negeri Selangor bagi menilai kemampuan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan usaha pembangunan di sesuatu kawasan berbanding negeri yang diperintah oleh Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata perbandingan prestasi antara pentadbiran negeri Selangor dengan Kelantan dan Terengganu membuktikan negeri di bawah pentadbiran PH itu jauh lebih baik daripada segi kemajuan, kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.
“Sekiranya PN berhasrat nak tawan Selangor, mereka kena ada model kerajaan yang baik di Kelantan atau Terengganu tetapi setelah memerintah sekian lama tiada perkara yang hebat dapat ditunjukkan.
“Sejak 2008 sehingga kini apa kerajaan negeri Selangor sudah buat adalah membantu rakyat dengan pelbagai program dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan Iltizam Selangor Penyayang (ISP),” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, setelah 15 tahun pentadbiran PH di Selangor, rakyat negeri itu jauh lebih pandai dan cerdik untuk menilai prestasi kemajuan di Selangor berbanding negeri yang diperintah oleh PN.
Tambah Yahya, pentadbiran dan pengurusan ekonomi kerajaan negeri Selangor yang telah 15 tahun dikuasai oleh PH, yang sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negeri lain bawah pentadbiran PN.
Beliau turut memberikan contoh mengenai penambahbaikan salah satu inisiatif kerajaan negeri iaitu Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang merupakan satu program penjajaran semula pemberian skim air percuma 20 meter padu sebulan kepada kumpulan sasar bagi penduduk di negeri Selangor.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk meneliti dan memperhalusi mekanisme yang digunakan di dalam melaksanakan penjajaran semula ini bagi memastikan golongan sasar khususnya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas.
“Saya ingat macam kita (Selangor) bagi air percuma kepada semua rakyat di negeri ini tetapi sekarang perlu melakukan pendaftaran semula supaya sampai kepada golongan bersasar.
“Dulu apabila dilakukan pemberian air percuma kepada semua, banyak manfaat turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi sedangkan keperluan adalah untuk membantu golongan B40 dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah,” ujarnya.
Pada Ogos tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim berkenaan dengan kos lebih RM30 juta ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.
Beliau berkata setakat Oktober 2022, lebih 300,000 akaun pengguna menikmati skim berkenaan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024.
BACA JUGA: PRN: PH yakin kuasai 40 kerusi DUN Selangor, kekal majoriti dua pertiga