Tabung Agro: Rakyat boleh dapat pinjaman tanpa faedah maksimum RM100,000

Rakyat di Negeri Sembilan sejak tahun 2018 mendapat pelbagai manfaat menerusi puluhan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Tabung Agro bagi tujuan mengukuhkan modal perniagaan.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ir Bakri Sawir berkata, inisiatif di bawah bidang tumpuan Jaminan Bekalan Makanan itu menggalakkan usahawan tani untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Tabung Agro memberi pendedahan awal kepada petani untuk memulakan perniagaan dengan lebih tersusun, seperti pembentangan projek sebelum mendapat pinjaman.

“Dengan itu, kita dapat mengenal pasti pertanian yang hendak dijalankan, sekali gus dapat merangsang potensi tersebut,” jelasnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang itu berkata demikian apabila ditanya mengenai inisiatif berkaitan pertanian yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Mengikut Belanjawan 2023, kerajaan Negeri Sembilan tahun ini meneruskan inisiatif Tabung Agro yang berbentuk pinjaman tanpa faedah dengan nilai maksimum RM100,000 itu untuk tujuan pengukuhan modal perniagaan.

Mengulas lanjut, Bakri yang juga Naib Pengerusi AMANAH negeri itu menegaskan bahawa pentadbirannya lebih menitik beratkan kejayaan projek pertanian sebagai keutamaan.

“Fokus saya ialah menggalakkan kewujudan lebih banyak projek baharu berbanding pemberian bantuan.

“Berdasarkan analisis kami, petani yang mengambil inisiatif berbentuk pinjaman dilihat lebih berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya lagi.

Selain Tabung Agro, Kerajaan Negeri Sembilan turut memperkenalkan enam inisiatif baharu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11 juta bagi merangsang potensi bidang pertanian di negeri tersebut.

BACA JUGA PN tidak mampu tembusi keutuhan kerajaan PH Negeri Sembilan