Usaha menyahjenayahkan cubaan bunuh diri sedang dijalankan

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan bahawa usaha menyahjenayahkan cubaan bunuh diri sedang dijalankan.

Menerusi satu siri ciapan, beliau menyatakan bahawa usaha perundangan sekarang dibuat pada dua peringkat.

“Usaha kini di peringkat usaha memansuhkan seksyen 309 Kanun Keseksaan yang melibatkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC), Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Kementerian Dalam Negeri, PDRM dan agensi berkaitan,” kata beliau dalam satu ciapan di Twitter.

“Dalam mencapai usaha ini, pindaan terhadap Akta Kesihatan Mental 2001 perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak ada pindaan berbangkit berkaitan cubaan bunuh diri.

Pada 17 Februari, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said telah pun mengumumkan hasrat kerajaan untuk menyemak semula seksyen 309.

Datuk Azalina Othman Said, antara menteri yang mendahului dalam usaha menyahjenayahkan percubaan bunuh diri

“Saya berpendapat hukuman jenayah bukan jawapan kepada masalah kesihatan mental.

“Oleh itu, saya komited untuk menyemak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Reformasi Institusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 bertempat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Seksyen 309 menjenayahkan cubaan bunuh diri. Ia memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda.

Buat masa sekarang seksyen 11 dan 12 Akta Kesihatan Mental merujuk kepada kaedah yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk menahan individu yang mempunyai sakit mental.

Tiada peruntukan khusus untuk percubaan membunuh diri.

BACA JUGA: Kerajaan PN era Muhyiddin gagal bendung kematian tragis bunuh diri