Wan Saiful dan seorang lagi akan didakwa hari ini

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama seorang lagi akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula, dua orang akan dibawa untuk didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Sumber memberitahu, seorang lagi yang akan didakwa bersama Wan Saiful adalah ahli perniagaan yang disiasat SPRM sebelum ini, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pendakwaan pagi ini dilakukan selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin disiasat SPRM beberapa hari lalu.

Ia dikatakan berkaitan dengan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputra Berwibawa (Jana Wibawa).

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Azalina Othman Said berkata Jana Wibawa melibatkan 56 projek yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST), dengan nilai keseluruhan projek RM6.3 bilion.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa senarai SST yang telah dikeluarkan yang mana melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

“Setakat ini, SPRM belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek tersebut,” katanya pada jawapan bertulis parlimen semalam.

Â