Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Jana Wibawa

Ahli parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan membabitkan Program Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dua pertuduhan tersebut membabitkannya meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta untuk program di atas.

Program Jana Wibawa, atau ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’ diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Ia juga bertujuan meningkatkan kemampuan kontraktor Bumiputera untuk membantu mereka menjadi lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

Program Jana Wibawa merupakan antara program yang diperkenalkan oleh mantan perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara pra kelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima suatu suapan bagi dirinya iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Wan Saiful yang juga merupakan bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful dituduh melakukan kesemua kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Beliau berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh diwakili peguambela Datuk Hisyam Teh Poh Teik serta Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai dan dia diarahkan melaporkan kepada ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap dua bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000.

Sementara itu Wan Saiful percaya bahawa beliau tidak bersalah.

Beliau turut menyatakan kerjasama yang diberikan oleh beliau kepada pihak SPRM.

“Kita akan buktikan melalui proses mahkamah dan saya ada penuh keyakinan bahawa mahkamah kita adalah mahkamah yang adil. Mahkamah yang kita bina sebab itu kita duduk dalam kerajaan dulu, kita pastikan ada kebebasan di sisi mahkamah.

“Dan ini akan membuktikan bahawa kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, insya Allah.”

BACA JUGA Tengku Zafrul sahkan disiasat sebagai saksi skandal Jana Wibawa