Ahli Parlimen diseru sokong pindaan kerakyatan anak dilahirkan di luar negara

Semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik dan gender diseru menyokong pindaan perlembagaan untuk memberikan hak kepada ibu warganegara mewariskan kerakyatan anak mereka yang dilahirkan di luar negara melalui penguatkuaan undang-undang.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya menyambut baik keputusan Kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita tempatan yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

“Keputusan ini tentunya adalah manifestasi komitmen dan keberanian kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet bagi merealisasikan kesaksamaan jantina.

“… sekali gus memenuhi hak kanak-kanak dan wanita sepertimana yang termaktub dalam The United Nations Convention on the Rights of the Child (CRC), 1989 dan the Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) 1995,” kata Aiman Athirah Sabu dalam kenyataan pada Selasa.

Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata pindaan ini membawa makna yang sangat besar untuk menjamin kesejahteraan hidup wanita dan kanak-kanak Malaysia khususnya yang telah sekian lama “ditangguhkan” akibat kurangnya keberanian kepimpinan politik sebelum ini.

“Tahniah juga kepada Family Frontiers Malaysia dan semua pergerakan wanita di seluruh negara atas konsistansi perjuangan tanpa rasa takut dan kegigihan mereka dalam memperjuangkan hak wanita Malaysia untuk memberikan kerakyatan kepada anak mereka sendiri.

“Wanita Pakatan Harapan senantiasa komited memastikan agar kerajaan perpaduan yang ada akan terus memberikan tumpuan bagi menyingkirkan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” ujar Ahli Parlimen Sepang.

Ketua Wanita AMANAH berkata Wanita PH juga memberi tumpuan kepada usaha mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan dan menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka.

Kata beliau pihaknya juga akan berusaha supaya terdapat tafsiran yang jelas berhubung hak kewarganegaan golongan itu sekali gus mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

“Semua ini adalah sebuah mimpi ngeri dan malang yang harus segera berakhir. Oleh kerana pindaan perlembagaan ini nanti memerlukan sokongan majoriti dua pertiga, Wanita Pakatan Harapan menyeru agar semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik dan gender untuk teguh menyokong pindaan ini sebulat suara,” katanya.