Amerika pun hadapi masalah telur tapi Malaysia jamin bekalan cukup – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memberikan jaminan bahawa kerajaan akan berusaha memastikan bekalan telur dan ayam mencukupi meskipun masalah kekurangan bekalan bahan makanan itu turut menimpa negara besar seperti Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjelaskan masalah keterjaminan makanan seperti telur bukan isu yang berlaku di Malaysia sahaja malah di peringkat global.

MOHAMAD SABU

Ujarnya, lawatan Ketua Setiausaha kementerian ke AS baru-baru ini mendapati pasar raya seperti Wallmart mengalami kekurangan bekalan telur akibat banjir.

“Sebenarnya negara yang sedang menghadapi masalah telur paling besar sekali adalah Amerika (Syarikat).

“Sekarang Ketua Setiausaha kementerian sedang berada di Amerika Syarikat. Dia pergi pasar raya yang paling ramai dikunjungi rakyatnya, iaitu Wallmart. Semua sayur ada, tapi telur tak ada sebab banjir berulang kali.

“Jadi, (pengeluaran telur) bergantung kepada keadaan cuaca dan perubahan iklim. (Walaupun Malaysia alami perubahan cuaca tak menentu) tapi kita yakin kementerian akan mencukupkan permintaan ayam dan telur,” katanya dalam temu bual bersama Harapan Daily dan beberapa agensi media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menjelaskan bahawa perubahan cuaca dan iklim sebenarnya antara faktor mempengaruhi stok bekalan telur ayam.

Beliau yang juga Presiden AMANAH berkata kementeriannya menjangkakan dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi bekalan telur akan benar-benar mencukupi.

“Sekarang pun sudah mencukupi (sufficient), cuma lima, enam bulan lagi ia akan lebih cukup kalau tak berlaku perkara-perkara barulah.

“Kita harap kalaulah berlaku kekurangan (telur), kalau boleh import ini satu perkara yang paling akhir kita akan buat tapi kita akan cuba mencukupkan di peringkat dalam negeri ini. Saya yakin dia sedang menuju kepada tahap sara diri,” jelasnya.

BACA JUGA: Belanjawan 2023: Mohamad Sabu harap peruntukan kementeriannya tidak dipotong

Â