Anwar sibuk dengan Belanjawan 2023

Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Kerajaan Perpaduan pada Jumaat ini, sememangnya dinantikan masyarakat di negara ini.

Dalam merangka pembentangan kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya adalah antara individu terpenting dan sibuk membuat perkiraan, demi melihat rakyat menerima manfaatnya.

Ia terbukti apabila Anwar hanya memberi jawapan ringkas ketika ditemui pemberita di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, hari ini.

“Saya harus bergegas ke pejabat sekarang untuk menyiapkannya (Bajet 2023),” kata Anwar.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai persediaan Bajet 2023 oleh kerajaan pimpinannya.

Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ialah belanjawan pertama kerajaan pimpinan Anwar.

Selepas memberikan jawapan itu, beliau  yang juga Menteri Kewangan dilihat bergegas menuju ke kenderaan dinaikinya.

Terdahulu, Anwar menyempurnakan perasmian penutup Persidangan Antarabangsa AbdulHamid AbuSulayman yang diadakan di UIAM Gombak.

Persidangan dua hari bermula semalam itu, membawa tema ‘Sumbangan Intelektual dan Reformasi Pendidikan’ turut dihadiri presiden Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), Dr Hisham Altalib.