Belanjawan 2023: Mohamad Sabu harap peruntukan kementeriannya tidak dipotong

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berharap peruntukan untuk kementeriannya dalam Belanjawan 2023 tidak akan dikurangkan.

Menurut beliau, meskipun dijangka tiada pengumuman mengejutkan dalam belanjawan susulan amaran Bank Dunia mengenai kemelesetan ekonomi dunia, manfaat untuk golongan B40 tidak akan dipotong.

MOHAMAD SABU

Beliau menjangkakan belanjawan yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bakal berbentuk sederhana berlandaskan konsep Malaysia Madani.

“Bajet tahun ni tidak ada satu pengumuman yang mengejutkan sebab Bank Dunia pun dah ramal. Perbelanjaan tahun ini akan lebih kepada berjimat cermat.

“Namun kepada golongan B40 di bawah, (manfaat) tidak akan dipotong kepada mereka.

“Cuma kementerian haraplah kalau tak ditambah pun sekurang-kurang jangan ada potongan sebab kita tahu apa yang kita buat tahun ini,” katanya dalam wawancara bersama Harapan Daily dan beberapa agensi media pada Isnin.

Untuk rekod, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, mengumumkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion secara keseluruhan.

Daaripada jumlah itu, RM5.32 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Sementara itu, mengulas bekalan jagung bijirin untuk makanan ternakan yang hampir 100 peratus diimport, Mohamad berkata kerajaan sedang menggalakkan penanaman tanaman itu oleh peladang tempatan tahun ini bagi menangani isu kenaikan harga makanan.

Beliau menjangkakan kerajaan mampu memenuhi 50 peratus keperluan makanan ternakan ayam itu manakala selebihnya menerusi sumber import.

“Nak memenuhi keperluan makanan, saya ingat dalam masa yang singkat tak boleh. (Jagung bijian) masih perlu bergantung pada import.

“Kalau boleh kita mahu memenuhi 50 peratus dalam beberapa tahun ini dan import 50 peratus. Itu lebih memadai,” katanya.

BACA JUGA: Mohamad usahakan penyelesaian jangka panjang untuk telur, ayam

Â