Kalkulator fidyah mudah kira bayaran ganti puasa, MAIS sasar kutipan RM20 juta

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan platform digital Kalkulator Fidyah Puasa bagi memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan bayaran ganti puasa.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata melalui platform digital itu, MAIS menyasarkan kutipan RM20 juta kutipan fidyah  di Selangor pada tahun ini.

“Sasaran ini ditetapkan agar lebih ramai masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan dalam mereka menjalani kehidupan seharian.

“Bagi tahun 2022, MAIS telah berjaya mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM6.85 juta melalui bantuan makanan kering dan wang tunai kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa disempurnakan oleh Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof  dalam Majlis Hi-Tea Bersama Rakan Media dan Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa sempena Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor 2023 di Shah Alam pada Selasa.

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Kalkulator Fidyah Puasa ini mempunyai tiga kadar bayaran iaitu RM2, RM4 dan RM6 selain mempunyai kaedah bayaran berganda dan tidak berganda.

Orang ramai yang ingin menggunakan Kalkulator Fidyah Puasa boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my.

“MAIS berharap agar Kalkulator Fidyah Puasa ini dapat memberi kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam membuat pengiraan dengan pantas dan tepat bagi bayaran fidyah yang dikenakan atas sebab-sebab faktor yang tertentu,” katanya Ahmad Shahir.

Melalui Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang diadakan bermula 22 Februari sehingga 22 Mac ini, pelbagai aktiviti menarik telah disusun antaranya Program Hari Bersama Baitulmal; Bual Bicara di Radio Selangor FM; Taklimat, Tazkirah Jumaat dan Kuliah Maghrib Khas di Institusi, Masjid dan Surau Terpilih; Kaunter Pemasaran Baitulmal dan Forum Fidyah.

BACA JUGA: Sultan, Majlis Agama Islam digesa tangani ‘pelampau agama’