Kerajaan teliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Maklumat

Kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Maklumat sebagai badan pengawal bebas yang bertanggungjawab mengawal selia Akta Kebebasan Maklumat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh A/l Karpal Singh berkata, secara prinsipnya semua agensi kerajaan bersetuju bahawa kebebasan maklumat secara umum dilihat boleh menyumbang kepada pemerkasaan dan kesaksamaan semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan.

Menurutnya, kebebasan maklumat juga memberi impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara selaras dengan aspirasi konsep ‘Membangun Malaysia Madani’ yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan perlu terus melaksanakan kajian yang menyeluruh dan mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pelbagai pihak dengan mengambil kira pandangan semua pihak agar tiada mana-mana pihak dikecualikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan kajian tersebut perlu mengambil kira dasar semasa kerajaan serta undang-undang sedia ada.

“Kajian ini juga perlu melihat amalan terbaik model perundangan di negara-negara lain serta
keberkesanan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat di Pulau Pinang dan Selangor,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) pada masa ini berada di peringkat akhir untuk menyelesaikan tugas-tugas kajian dasar berkaitan cadangan penggubalan akta tersebut.

“Satu kertas Kajian Dasar Cadangan Gubalan Kebebasan Maklumat akan disediakan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet yang berkaitan untuk mendapatkan keputusan muktamad hala tuju dasar selanjutnya,” kata beliau lagi.

BACA JUGA PM Anwar pengerusikan mesyuarat menteri besar, ketua menteri