Kes Jana Wibawa: Pentadbiran Mahiaddin buat banyak silap mata

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah menganggap pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin melakukan banyak ‘silap mata’ terutama pada waktu darurat dan parlimen digantung.

Salah satunya kes membabitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang didakwa semalam atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkait dengan projek Jana Wibawa.

Menurut Kamarul, terdapat elemen aneh dalam kes ini. Wan Saiful didakwa menerima suapan daripada seorang kontraktor yang berkepentingan dalam projek berkenaan.

“Namanya Lian Tan Chuan bukan seorang bumiputera jadi aneh pula bagaimana syarikat terbabit dalam usaha murni Jana Wibawa yang ditubuh khusus menolong bumiputera Melayu Islam.

“Bukankah BERSATU dan PAS dalam PN juara nombor wahid memperjuangkan hak kepentingan Melayu Islam?

“…Belum pun mula projek, rasuah besar telah diambil,” katanya dalam petikan.

Untuk rekod, projek mega itu diterajui bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bagi menjana dan memperkasa ekonomi serta membantu golongan bumiputera.

Dalam pada itu, Bahrin yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional (AMANAH), mempersoalkan salah laku tersebut di saat rakyat kebanyakan terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Siapakah pengkhianat sebenar kepada orang bumiputera di sebalik tabir kerajaan PN Melayu Islam ini? Kedua-dua orang tersebut adalah orang kanan Mahiaddin dan mustahil dia tidak mengetahui apa yang berlaku disebalik tabir,” ujarnya lagi.

Semalam Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, pemimpin Bersatu tersebut didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd untuk mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia di peringkat pra kelayakan.

Projek tersebut bernilai RM232,000,000.

Beliau juga dituduh menerima suatu suapan bagi dirinya iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd.

Wang tersebut diterima daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.