Mohamad Sabu yakin pentadbiran PM Anwar kekal 5 tahun

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin Kerajaan Perpaduan akan bertahan selama lima tahun sehingga penggal pentadbirannya berakhir.

Beliau yakin episod hitam melanda kerajaan Pakatan Harapan digulingkan yang pada 2018 tidak akan berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Ya, (Kerajaan Perpaduan) akan bertahan selama lima tahun. InshaAllah,” katanya ketika diminta mengulas adakah beliau yakin kerajaan akan bertahan tanpa diganggu gugat.

Tambah Mohamad, apabila Timbalan Perdana Menteri (TPM) dilantik dari Ahli Parlimen Sarawak iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof, maka Ahli Parlimen di Borneo akan terus bersama dengan kerajaan.

“Apabila kita lantik TPM dari Sarawak, mereka akan sentiasa bersama dengan kita walau apa pun yang berlaku. Sabah, Sarawak akan bersama dengan kita. Kita akan bertahan untuk 5 tahun,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Harapan Daily.

Sementara itu ketika ditanya sama ada kerjasama dengan Barisan Nasional akan memberi kesan terhadap perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohamad menyifatkan ia akan sedikit mencabar.

Bagi Terengganu dan Kelantan, Mohamad akui agak sukar mendapatkan undi namun di Kedah, Pakatan Harapan masih mempunyai peluang menguasai negeri itu.

“PRN akan susah (buat PH) kawal Terengganu dan Kelantan. Mungkin kita boleh dapatkan undi di Kedah, tapi di Kelantan agak sukar sebab Pas sangat kuat di sana.

“Saya yang buatkan Pas kuat di Kelantan dan Terengganu. (Dulu) mereka setiap tahun minta saya untuk berkempen tawan Terengganu,” ujarnya lagi.

PRN di tiga negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta tiga lagi negeri ditadbir Pas iaitu Kedah, Kelantan serta Terengganu akan diadakan tahun ini.

BACA JUGA Mohamad usahakan penyelesaian jangka panjang untuk telur, ayam