Nasib Wan Saiful, parti Melayu Bumiputera dan rasuah

Semalam Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, 47, dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan rasuah membabitkan projek Jana Wibawa.

Wan Saiful dituduh menerima rasuah wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd milik Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Wan Saiful yang pernah mempengerusikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dilaporkan media bahawa kesalahan – kesalahan tersebut dilakukan di antara Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Projek ini sebahagian daripada projek ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’ diperkenalkan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, terutamanya untuk masyarakat Bumiputera.

Ada beberapa persoalan yang timbul ekoran daripada dakwaan di atas.

Dari sudut politik, dakwaan ini membuktikan Perikatan Nasional yang berkempen menggunakan Bersih dan Stabil (BEST) ketika pilihan raya umum ke-15 tidaklah bersih-sebersihnya. PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gerakan.

Wan Saiful merupakan ketua penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera di negara ini. Anggota parti bukan Melayu Islam di dalam parti ini ialah anggota bersekutu bukannya ahli penuh.

Seperti mana yang disebutkan di atas, Jana Wibawa bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek dan memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, terutamanya untuk masyarakat Bumiputera.

Justeru timbul persoalan, bagaimana mungkin ekonomi kumpulan kontraktor Melayu Bumiputera boleh dipacu dan diangkat dengan memberikan projek tersebut kepada Syarikat Nepturis Sdn Bhd?

Bagaimana mungkin penerimaan wang suapan tersebut boleh dipertahankan oleh sebuah parti Melayu Bumiputera? Adakah ini parti yang mampu menjaga kepentingan masyarakat Melayu – Bumiputera?

Sebagai wartawan yang turut mengikuti perkembangan politik negara, hari ini kita menyaksikan kejatuhan seorang intelek yang terpalit dengan rasuah. Wan Saiful ketika mula dikenali mengetuai Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).

Ketika itu beliau mewakili suara-suara yang mahu mereformasi sistem negara ini.

Hari ini beliau hanyut dan reformasi itu sudah dilupakan. Peletakan jawatan beliau sebagai ketua penerangan parti tidak akan membersihkan nama beliau.

Sekiranya RM6,962,694.54 yang diterima adalah untuk parti, persoalannya mengapa tidak wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun parti?

Ya, Malaysia belum membentangkan Rang Undang-Undang Pendanaan Parti Politik yang telah banyak dibincangkan oleh golongan akademik tetapi ini tidak bermakna parti tiada akaun.

Jadi hujah bahawa wang tersebut adalah untuk parti tidak boleh diterima.

Perlu diingat, Wan Saiful bukan keseorangan berdepan dengan kes mahkamah.

Adam Radlan Adam Muhammad 42, yang juga timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut turut berdepan dengan tuduhan rasuah semalam di Kuala Lumpur dan hari ini di Shah Alam.

Adakah ini petanda lebih ramai pemimpin parti Bersatu akan terpalit dengan kes rasuah? Lambat laun, rakyat akan mengetahuinya juga.

BACA JUGA: Pemimpin Bersatu dikenakan 2 lagi tuduhan rasuah berkait Jana Wibawa

Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Jana Wibawa