PH, BN Pulau Pinang adakan pertemuan tidak lama lagi

Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang akan diadakan tidak lama lagi setelah mendapat persetujuan PH Pusat.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pertemuan antara PH dan BN akan diadakan setelah mesyuarat dan perbincangan PH diadakan tidak lama lagi.

“Persetujuan telah pun diterima dari PH Pusat dan proses perbincangan serta pertemuan tersebut akan dilaksanakan setelah semua pihak bersedia bagi menjalankan perbincangan tersebut.

“Sebelum ini perbincangan bagi mengadakan proses rundingan terbabit telah pun diutarakan, namun begitu ia belum dapat dilaksanakan kerana belum mendapat arahan.

“Kini setelah adanya arahan dari PH Pusat maka ia akan direalisasikan tidak lama lagi bagi memastikan kerjasama antara PH dan BN menjadi realiti,” ujar beliau di Komtar semalam.

Gabungan PH-BN adalah penting bagi memastikan 40 buah kerusi Dun Pulau Pinang sedia ada mampu dipertahankan dalam PRN dan kekal seiring dengan Kerajaan Pusat.

Dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu, PH berjaya menguasai 37 kerusi, BN 2 apabila memenangi kerusi Dun Sungai Dua dan Permatang Berangan. Manakala Pas hanya menang 1 kerusi tunggal di Dun Penaga.

 

BACA JUGA PM Anwar pengerusikan mesyuarat menteri besar, ketua menteri