Saifuddin berhasrat selesaikan isu kewarganegaraan semaksimum mungkin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau berhasrat untuk mengusahakan penyelesaian dalam isu kewarganegaraan semaksimum mungkin.

Menurutnya, isu yang sudah lama berlaku itu kerap diadukan kepadanya dan menjadi rungutan dalam kalangan rakyat.

“Ini tentang hak mereka. Jika perkara ini tidak diurus dengan segera tentu menyukarkan mereka untuk belajar, mendapatkan khidmat kesihatan, memohon kerja, berkahwin dan pelbagai lagi.

“Kebanyakan daripada mereka juga bukan orang senang, mereka mesti dibantu dengan segera,” ujarnya.

Beliau menambah akan memaklumkan jumlah pemohonan yang benar-benar layak dan telah diluluskannya.

“Tadi di Parlimen, saya terima kunjungan YB Puan Isnaraissah Munirah, Ahli Parlimen Kota Belud.

“Isu kewarganegaraan, sindiket jenayah penipuan pekerjaan serta beberapa isu lain melibatkan penduduk di Kota Belud dan Sabah turut dibincangkan,” katanya lagi.

Selain Orang Asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli, isu anak tanpa kewarganegaraan turut membabitkan anak angkat, kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, anak tidak sah taraf atau yang lahir dari perkahwinan yang tidak didaftarkan serta orang tanpa dokumen.

Untuk rekod, terdapat empat jenis dokumen pengenalan diri dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan semua masyarakat yang berada dalam Malaysia, mestilah mempunyai dokumen pengenalan diri sah mengikut undang-undang negara.

BACA JUGA Kalau Zahid dalang, kenapa dia masih perlu turun naik mahkamah?