Wan Saiful umum letak jawatan

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan ekoran pendakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, beliau telah memaklumkan hal tersebut kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, pelepasan jawatan itu bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

Sehubungan, jelasnya kepada pemberita di lobi Parlimen, terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.

Walau bagaimanapun, Wan Saiful memberitahu beliau masih memegang jawatan Ahli MPT Bersatu.

Dalam masa sama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) itu mendakwa pendakwaan yang dikenakan terhadapnya semalam sebagai tindakan bermotifkan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Oleh sebab itu, dia memohon supaya Mahiaddin dan juga MPT Bersatu membuat keputusan mengenai jawatannya sebagai Ketua Penerangan parti tersebut.

“Keputusan saya ambil ini adalah sesuai dengan prinsip integriti dan semangat perjuangan yang saya junjung selama ini.

“Tindakan ini juga saya nak tegaskan antara saya dengan kluster mahkamah yang bermaharajalela dalam kerajaan PH dan BN hari ini,” tambahnya lagi.

Semalam, Wan Saiful, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa berjumlah RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.

BACA JUGA Kerajaan teliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Maklumat