Zakat Selangor salur maksimum RM2,000 setiap keluarga, bantu pelajar asnaf

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan peruntukan zakat sejumlah RM32.6 juta bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 pelajar daripada keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf pada sesi tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata bantuan zakat itu disalurkan bagi memastikan semua pelajar asnaf mendapat pendidikan yang sempurna dan selesa melibatkan kira-kira 33,000 ketua isi keluarga.

“Antara bantuan yang diberikan terutamanya ialah yuran sekolah sebanyak RM1,200 bagi sekeluarga, bantuan pakaian sekolah dan alat tulis.

“LZS harap manfaat ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin oleh pelajar di mana mereka dapat teruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Semoga generasi kedua ini akan dapat dipertingkat usaha dan dapat capai tahap kehidupan lebih selesa pada masa akan datang,” katanya selepas majlis simbolik bantuan pendidikan sekolah di Shah Alam pada Selasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof beramah mesra dengan salah seorang pelajar asnaf pada program simbolik bantuan pendidikan sekolah LZS di Shah Alam pada 21 Februari 2023. Foto LZS

Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pemberian bantuan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan beban asnaf yang berdaftar dengan LZS terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dan menampung kos yuran untuk anak-anak mereka.

Ia meliputi semua peringkat umur pelajar iaitu pra sekolah seramai 899 orang, sekolah rendah kebangsaan/sekolah rendah agama (37,679 orang), sekolah menengah kebangsaan (36,587 orang) dan sekolah menengah agama (307 orang).

Setiap murid sekolah rendah menerima bantuan sebanyak RM170, sekolah rendah agama (RM150) manakala sekolah menengah/agama (RM200).

Kelengkapan persekolahan itu meliputi pakaian seragam, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya.

Ia boleh ditebus menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih iaitu Pasar Raya Borong SAKAN, Pusat Pakaian Hari-Hari, Pasar Raya MM dan Kedai Canggih berdasarkan kepada kadar bantuan yang diterima bermula 18 Februari hingga 18 Mei ini.

Setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga.

Pemberian bantuan ini disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucar tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu.

BACA JUGA: Selangor tekad rapatkan jurang kemiskinan, elak individu berlagak ‘Robin Hood’