Hasilkan ‘content’ media sosial menarik pikat pengundi ketika pilihan raya

Meskipun kaedah kempen konvensional seperti ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah tetap relevan, peranan media sosial akan terus menjadi tumpuan bagi memikat pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Wakil rakyat Rawang, Chua Wei Kiat berkata media sosial mampu mempengaruhi masyarakat pada pilihan raya dalam membuat keputusan untuk mengundi pihak yang difikirkan mampu membawa kepada kemajuan negara dan membela nasib rakyat.

“Saya berpandangan bahawa rakyat Malaysia kini lebih cenderung kepada media sosial dan juga kemudahan teknologi yang sedia ada.

“Pengalaman pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas (PRU14 dan PRU15), penggunaan platform media sosial seperti Facebook, Tik Tok, Twitter dan Instagram telah memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran mesej,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.

ADUN Rawang Chua Wei Kiat dalam temu bual bersama Harapan Daily baru-baru ini. Foto GHIFARI MUKHTAR

Wei Kiat yang juga Ketua Penerangan PKR berkata media sosial mempunyai kuasa yang kuat dalam membentuk pendapat umum dalam pilihan raya kerana perkembangan teknologi yang semakin canggih dan dikendalikan secara langsung.

Jelasnya media sosial mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pendapat umum yang mana masyarakat memerlukan khidmat media sosial untuk mendapatkan berita dan orientasi berkenaan pilihan raya.

“Jika sebelum ini, sepuluh tahun lalu kita (PKR) perlu buat jelajah dari satu kawasan ke satu kawasan untuk berjumpa dengan masyarakat dan akar umbi bagi memberikan penerangan.

“Walaupun tumpuan kini tertumpu kepada media sosial namun aktiviti seperti ceramah masih lagi relevan kerana masih lagi mempunyai pengikut yang tersendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wei Kiat turut menyatakan cabaran yang dihadapi oleh parti untuk menghasilkan kandungan yang menarik sehingga dapat perhatian umum untuk disebarluaskan.

“Dalam media sosial ini, jumlah ‘content creator’ (pencipta kandungan) terlalu ramai dan cabarannya adalah untuk menghasilkan kandungan yang boleh menarik perhatian umum dan juga jentera parti.

“Oleh itu, usaha untuk meningkatkan kemampuan anggota parti untuk menguasai media sosial akan dilakukan supaya mereka boleh menjadi pencipta kandungan yang baik,” katanya.

BACA JUGA: Harapkan Belanjawan 2023 Kerajaan Perpaduan utamakan isu rakyat