Peniaga kawal jualan minyak masak paket

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendedahkan ada sesetengah peniaga runcit yang ‘mengawal’ jualan minyak masak paket di kedai-kedai mereka.

Beliau berkata, dalam beberapa operasi terjah yang dilakukan pihak KPDNKSH, ada peniaga yang terpaksa mengehadkan jumlah minyak masak paket di rak-rak dengan alasan untuk mengelakkan pembelian borong oleh peniaga kecil.

Namun kata Salahuddin, setakat ini KPDN mendapati kekurangan bekalan minyak masak tidak lagi sampai ke tahap kritikal kerana sekiranya ada kes kekurangan berlaku di satu-satu tempat, maka kementerian akan segera mengarahkan pegawai memastikan mengapa ia berlaku.

“Ada beberapa mini market atau kedai runcit, mereka terpaksa buat kawalan dalaman sendiri. Dan ini tidak boleh juga kita pandang terus nak saman atau nak tangkap, sebab belah pagi mereka buka satu kotak dahulu.

“….tengahari nanti mereka buka satu kotak, dan petang pula mereka buka 1 kotak lagi. Mereka berhujah kalau buka empat lima kotak sekaligus, maka ianya akan cepat dibeli oleh peniaga-peniaga kecil,” katanya dalam sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Salahuddin, sehingga kini hampir 2,898 kes berkaitan minyak masak telah disiasat dan 13 pendakwaan telah dibuat.

“Ini membuktikan kita tidak lalai dari segi menjalankan penguatkuasaan,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (Rasah-PH) yang bertanya tindakan terhadap peniaga yang menjual minyak subsidi kepada restoran-restoran besar, dan ketirisan dilakukan sindiket tertentu sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Ketika menjawab soalan asal dari Cha, Salahuddin menyatakan bahawa kerajaan tiada cadangan menambah bekalan minyak masak.

“Sebenarnya 60,000 tan metrik yang diperuntukkan kepada kementerian ini logiknya cukup, kerana kita ada lebih kurang 60 juta pek untuk dibekalkan.

“Isi rumah B40 seperti yang direkod jabatan perangkaan merekod 8.6 juta isi rumah,” katanya semasa sesi jawapan lisan.

Berhubung dengan kekurangan bekalan minyak masak, beliau berkata bahawa kes kekurangan bekalan berlaku secara terpencil dan pihak kementerian sedang mengawasi perkembangan sebegitu.

BACA JUGA: Tiada krisis minyak masak, bekalan mencukupi di pasaran- Salahuddin