PM Anwar ucap takziah, Dr Kamal Hassan beri sumbangan besar dunia akademik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan salam takziah buat keluarga Allahyarham Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang meninggal dunia awal pagi ini.

Beliau mendoakan agar roh Allahyarham Dr Mohd Kamal ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh.

“Terima perkhabaran duka mantan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.

“Allahyarham merupakan tokoh pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

“Tentunya kehilangan ini meninggalkan bekas yang mendalam kepada sanubari umat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

ALLAHYARHAM DR KAMAL HASSAN

Terdahulu Anwar bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi keluar dan jenazah Allahyarham Dr. Kamal pagi tadi di Surau Al Mawaddah, Bandar Baru Bangi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Dr Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 25 Februari 2022.

Almarhum Dr Mohd Kamal, 80, merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Dilahirkan pada tahun 1942 di Pasir Mas, Kelantan, mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965 dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975.

Keilmuan serta ketokohan beliau diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau pernah diamanahkan sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 sehingga 2006 menggantikan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Hamid Ahmad AbuSulayman.

BACA JUGA: Tokoh intelektual Islam Dr Kamal Hassan meninggal dunia