PRN Selangor: PH dan BN dicadang guna satu logo

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri mencadangkan agar PH dan Barisan Nasional (BN) Selangor untuk menggunakan satu logo bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, penggunaan satu logo ini merupakan satu bentuk kerjasama dan seterusnya akan memudahkan gerak kerja di antara PH dan BN pada pilihan raya bagi mendepani Perikatan Nasional (PN).

“Saya memberi cadangan supaya keseluruhannya (PH dan BN) menggunakan satu logo sahaja dan logo itu adalah logo PH.

“Saya cadangkan begitu kerana rasionalnya ia akan lebih memudahkan untuk menubuh kerajaan dan akan menjadikan kerajaan itu lebih kukuh sampai lima tahun memandangkan sekarang sudah ada Akta Lompat Parti,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, sekiranya perkara itu dapat dilakukan ianya akan lebih memudahkan urusan antara kedua-dua pihak termasuk dalam urusan penyelarasan kerja-kerja pilihanraya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan lima negeri lain yang akan menghadapi PRN untuk turut menggunakan satu logo sahaja.

“Saya turut mencadangkan beberapa negeri untuk bertanding atas tiket BN contohnya seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Manakala di peringkat Pulau Pinang dan Negeri Sembilan keseluruhannya menggunakan logo PH dan mungkin itu lebih memudahkan,” ujarnya.

Selain itu, Yahya yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya PKR Selangor turut memberi bayangan tentang pembahagian 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Secara umum BN akan kekal (bertanding) dengan kerusi dimenanginya termasuk satu kerusi yang dimenangi oleh Pas dan juga kerusi yang dimenangi oleh Bersatu.

“Tetapi ini bukan lagi keputusan rasmi sebab kita (PH) kena berlaku adil kepada BN sebagai rakan yang perlu duduk bersama untuk membina kekuatan,” ujarnya.

Lima kerusi DUN Selangor yang dimiliki oleh BN ialah Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong dan Semenyih.

PH Selangor dijangka akan memulakan proses rundingan dengan BN negeri berhubung kerjasama dan persediaan PRN dalam masa terdekat.

BACA JUGA Pejuang dalam PH? Kena bincang dengan BN juga