Rumah Harapan Rakyat Negeri Sembilan: Tiada slip gaji, MPKK boleh sahkan

Pemohon Rumah Harapan Rakyat (RHR) di Negeri Sembilan yang tiada slip gaji, boleh mendapatkan pengesahan pendapatan mereka menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), Rusmimah Mat Derus berkata, borang pengesahan itu ada disediakan pihaknya.

”Kita memang nak slip gaji, tetapi jika tiada slip gaji kerana ramai yang kerja kampung, jadi pemohon boleh mendapatkan pengesahan pendapatan mereka daripada MPKK.

”Kita ada borang pengesahan pendapatan daripada MPKK. Ia dibolehkan kepada pemohon yang tiada slip gaji,” katanya.

Rusmimah Mat Derus

Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video berdurasi 1 minit 49 saat yang dimuat naik hari ini di Facebook rasmi Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam perkembangan sama, Rusmimah berkata, program tersebut bertujuan untuk membina sebuah rumah yang baharu dan bukannya membaiki rumah yang telah rosak.

”Untuk program ini, kita bukan membaiki rumah yang telah rosak atau uzur, sebaliknya jika permohonan berjaya, satu rumah baharu akan dibina untuk mereka (pemohon).

”Ada juga kes yang rumah telah uzur, tetapi mereka perlu pindah terlebih dahulu untuk beberapa bulan, kemudian barulah kita bina rumah baharu di tapak yang sama,” ujarnya lagi sambil menambah syarat untuk membina rumah itu, mestilah di atas tanah sendiri.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Sembilan telah memperkenalkan Program RHR bermula pada 2021, bertujuan memberi ruang kepada rakyat berpendapatan rendah di negeri itu, memiliki rumah pada harga berpatutan.

Program tersebut adalah kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk membina satu unit rumah untuk golongan B40 yang masih belum memiliki rumah, dan ingin membina kediaman di atas bidang tanah masing-masing.

Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun menawarkan rumah itu dengan bayaran balik serendah RM238 sebulan.

Bagi tahun ini, harga seunit rumah yang akan dibina adalah sebanyak RM85,000, manakala jumlah pinjaman pembiayaan oleh pemohon adalah sebanyak RM75,000 sahaja.