Singapura henti penambakan Batu Puteh sehingga dimuktamad

Susulan bantahan berterusan Malaysia terhadap Singapura, republik itu kini bersetuju menghentikan sementara kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata Malaysia telah berulang kali menyatakan bantahan secara lisan dan bertulis bahawa sepatutnya kerja-kerja pembangunan perlu dihentikan sementara.

Ini kerana katanya, Singapura tidak berhak dan tidak wajar meneruskan perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan sehingga kedua-dua negara memuktamadkan sempadan maritim di perairan tersebut.

“Susulan bantahan Malaysia, Singapura telah bersetuju untuk menghentikan sementara perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh.

“Selain daripada pembatasan sempadan maritim, rundingan bagi membincangkan pelan pembangunan sepihak Singapura di Batu Puteh ini juga telah dimulakan oleh kedua-dua negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama kata Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, kementerian bersama-sama agensi-agensi teras kerajaan yang berkaitan sedang meneliti perkembangan semasa dan mengkaji tindakan-tindakan yang boleh diambil daripada pelbagai aspek termasuk berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dua hala.

Katanya Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab dan berpendirian, kekal dengan prinsip bahawa perkara isu Batu Puteh perlu dikendalikan secara diplomatik dengan niat baik.

Beliau juga berharap agar Singapura mengambil tindakan yang sama dengan menghormati dan tidak melaksanakan sebarang keputusan yang mencerminkan niat buruk (bad faith), yang bertentangan dengan semangat dan proses rundingan yang sedang berlangsung di antara kedua-dua negara.

“Kementerian Luar akan terus mengetuai rundingan dengan Singapura dan berusaha agar momentum positif rundingan diteruskan, bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

BACA JUGA Peniaga kawal jualan minyak masak paket