Wan Saiful memalukan orang Tasek Gelugor

Keterlibatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam isu kes rasuah Jana Wibawa sehingga diseret ke mahkamah memalukan penduduk Tasek Gelugor.

Ketua AMK Cabang Tasek Gelugor, Nur Mushawwir Hrsikesa berkata, ini adalah kes pertama seumpamanya bagi Parlimen Tasek Gelugor dan ianya telah mencemarkan nama baik kawasan tersebut serta Pulau Pinang.

“Kami di Tasek Gelugor turut kesal dan malu dengan dakwaan rasuah tersebut dan masih lagi menanti kenyataan beliau untuk disampaikan kepada rakyat dan penduduk dalam kawasan Parlimen yang diwakili beliau.

“AMK Tasek Gelugor menolak mana-mana wakil rakyat yang terlibat dalam apa jua kes rasuah dan perkara ini merupakan kali pertama seorang Ahli Parlimen dari Tasek Gelugor dikaitkan dengan kes rasuah.

“Hasrat kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan prinsip menolak rasuah dan salah guna kuasa serta memastikan kebebasan institusi kehakiman direalisasikan amat dipuji serta harus dikekalkan,” ujar beliau.

Kini Wan Saiful yang juga merupakan Ketua Penerangan Bersatu telah pun dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta melibatkan Jana Wibawa.

Bagi pertuduhan pertama beliau didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan sebagai doringan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘ Central Spine Road’ Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur secara rundingan terus berjumlah keseluruhannya RM232, 000,000.

Malah beliau turut dituduh menerima satu lagi suapan wang tunai sejumlah RM6, 962,694.54 melalui akaun CIMB Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.

Beliau mengaku tidak bersalah berhubung pertuduhan tersebut dan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan Wan Saiful diikat jamin sebanyak RM400, 000 dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim juga memerintahkan beliau supaya melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Makaysia setiap dua bulan sementara menanti keputusan perbicaraan.

 

BACA JUGA Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Jana Wibawa