70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dapat RM600
Seramai 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir akan mendapat sumbangan khas RM600 pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.
“Kerajaan memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir iaitu seramai 70,000 orang akan menerima manfaat ini.
“Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan untuk terus memperkasakan syiar Islam di bawah pentadbirannya.
“Kerajaan telah menyediakan peruntukan berkaitan hal ehwal Islam berjumlah RM1.5 bilion dan kita mahu institusi Islam dalam negara Madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.
“Pengurusan paling cekap harus dimulakan di sini (institusi Islam), dan perlu menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam,” ujarnya lagi.
BACA JUGA RM10 juta cetak al-Quran bahasa Sweden, bahasa asing utama dunia