Bantuan tunai Selangor diperluas kepada 30,000 penerima – MB

Kerajaan negeri Selangor perluaskan bantuan tunai kepada 30,000 penerima termasuk ibu tunggal dengan masing-masing menerima RM300 setiap bulan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu dilaksanakan mulai tahun ini melalui inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

“Di Selangor, terdapat beberapa golongan yang diberi bantuan wang tunai secara bulanan oleh Kerajaan Negeri. Antara inisiatif yang terbaru adalah BINGKAS.

“Sebelum ini, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) memberi bantuan wang tunai RM200 sebulan kepada 21,000 penerima ibu tunggal.

“Kini, bantuan wang tunai ditambah kepada RM300 sebulan dan diperluaskan kepada 30,000 penerima BINGKAS bagi menggantikan KISS dan KISS-IT,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Amirudin berkata, bantuan di bawah BINGKAS turut diperluas meliputi lelaki berkelayakan yang menjaga keluarga secara sendirian menampung perbelanjaan seharian termasuk pendidikan.

“Moga inisiatif mampu meringankan kos kehidupan sekeluarga,” ujarnya.

BACA JUGA: Selepas ‘berkubur’ 31 tahun, Amirudin harap Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan

Â