Belanjawan Madani 2023: Peruntuk RM388.1 bilion, tumpu basmi kemiskinan – PM
Setelah lebih dua dekad, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan belanjawan penuh kali pertama bagi Kerajaan Perpaduan pimpinannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Madani 2023 berkata kerajaan memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
“Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada 97 bilion ringgit ketimbang RM71.6 bilion tahun lalu.
“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.
“Dengan pembaharuan tatacara perolehan Kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” katanya yang menyifatkan belanjawan tersebut bersifat melakukan islah atau pembaharuan.
Perdana Menteri berkata kerajaan menjangkakan kutipan hasil 2023 berjumlah RM291.5 bilion ringgit berbanding RM294.4 bilion ringgit pada tahun lalu.
Namun, ini belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.
“Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, meyakini prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh,
kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus di bawah dasar fiskal mengembang.
Jelasnya, sasaran sejajar dengan analisis Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini diunjur pada kadar 4 peratus mengambil kira tinjauan ekonomi global yang mencabar.
“Malah, mengambilkira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran, saya yakin negara akan melepasi unjuran KDNK 4.5 peratus.
“Tentunya ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Bagi mengawal paras hutang, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5 peratus ketimbang 5.6 peratus pada 2022.
“Kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.
“Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat,” katanya.