Belanjawan Madani 2023: RM1.2 bilion disedia baiki 400 klinik, sekolah daif

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Perdana Menteri berkata bagi menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 serta perolehan secara cabut undi kepada RM200,000 berbanding RM100,000.

“Tidak boleh diterima akal bahawa zaman sekarang rakyat masih terpaksa berdepan isu sekolah dan klinik daif. Saya tidak mahu perkara ini terus berlarutan.

“Kalau disebabkan projek lambat siap kerana mematuhi prosedur, apa guna jadi Kerajaan kalau tidak memudah cara. Ini perlu segera diselesaikan tahun ini juga,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Madani 2023 hari ini.

Dalam pada itu, bagi mengatasi keselamatan jalan raya Anwar berkata kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk
menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.

“Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

“Sejumlah RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar,” katanya.

Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat dengan RM100,000 disediakan untuk setiap daerah.

“Sejumlah RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.

“Kerajaan akan meningkatkan pemberian MARRIS yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada RM5.2 bilion ringgit,” katanya.

“Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana.”