BERNAS komited kongsi 30 peratus untung import beras dengan pesawah padi

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghargai komitmen Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) atas perkongsian 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi.

“Saya sekali lagi ucap terima kasih dan penghargaan atas kesudian BERNAS untuk menyumbang sejumlah RM60 juta bagi membantu para pesawah miskin.

“BERNAS turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif kepada para pesawah padi.

“Kerajaan akan meneruskan pemberian pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion.

“Selain itu, sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah padi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan RM240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta,” ujarnya.

BACA JUGA Runding terus ditender semula, kerajaan jimat RM3 bilion