Cukai barang mewah diperkenal, tidak cadang laksana semula GST

Kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut kriteria barang mewah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara bentuk barangan mewah adalah seperti jam tangan serta barangan fesyen.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan.

“Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Goods and Services Tax (GST).

“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih 5 peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

“Selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.

“Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang merupakan Menteri Kewangan berkata kerajaan turut bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Beliau menegaskan walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang negara, hakikatnya penjualam bahan tersebut telah berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 billion.

Sehubungan itu, menurutnya kerajaan bersetuju menyalurkan 50 peratus daripada duti berkenaan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), sebagai tanda sokongan terhadap Generasi Penamat (GEG).

“Kerajaan menyokong GEG dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” jelasnya.